MELAKA: Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah bazar rakyat secara kekal di kawasan Pusat Komersil Hang Tuah Melaka (HTMCC) bagi melahirkan usahawan berdaya saing dan maju terutama dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana. Pengerusi Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman berkata bazar berkenaan yang berkonsepkan pusat beli-belah terbuka dicadang dibangunkan kerajaan negeri di HTMCC sekitar Jalan Hang Tuh dan Jalan Tun Ali di sini. "Tujuan kita mewujudkan bazar ini adalah untuk memastikan usahawan kita mempunyai tempat berniaga secara tetap terutama mereka yang sebelum ini lebih bergantung pada perniagaan bazar yang diwujudkan pada musim tertentu seperti ketika Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Aidilfitri Industri Asas Tani 2017 di sini, Khamis. Beliau berkata sebagai pengerusi keusahawanan negeri, beliau akan membawa usul tersebut kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ab Razak Majid. Hasan berkata inisiatif berkenaan melibatkan pelbagai agensi terutama FAMA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri yang akan mengenal pasti langkah pelaksanaan dan usahawan yang berpotensi terlibat dalam perniagaan bazar tersebut. Beliau berkata bazar berkenaan akan menjadi antara ikon baharu keusahawanan selain sebagai produk pelancongan terkini yang dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi usahawan malah ekonomi kerajaan negeri. Sementara itu, tujuh lokasi Pasar Tani Khas Pra-Syawal diwujudkan di tiga daerah bagi menjual barangan keperluan asas untuk menyambut Aidilfitri. Beliau berkata antara lokasi pasar tani khas tersebut ialah Pasar Tani Merlimau, Lubok China, Selandar dan Masjid Tanah yang bermula pada Selasa hingga Sabtu ini, sejak 7 pagi hingga 12 tengah hari. "Pelbagai barangan keperluan untuk persiapan Hari Raya dijual pada harga yang berpatutan dan terdapat potongan harga antara lima hingga 20 peratus untuk sesetengah barangan," katanya.