suria

Mara Pelawa Golongan Muda Jadi Usahawan Trak Makanan

KANGAR: Menyedari potensi perniagaan menggunakan trak makanan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perlis mempelawa golongan muda khususnya supaya mengusahakan perniagaan tersebut.

Pengarahnya Zahari Aziz berkata Mara menyediakan skim pinjaman 100  peratus, maksimum RM250,000 untuk pembelian trak yang lengkap diubah suai kepada pemohon yang memenuhi syarat.

Katanya pendaftaran hak milik trak pula atas nama pemohon dan mereka menentukan sendiri jenama kenderaan yang diminati.

“Perniagaan ini (trak makanan) mempunyai masa depan cerah. Golongan muda yang bercita-cita menjadi usahawan harus merebut peluang ini,” kata Zahari kepada Bernama di sini.

Zahari mempelawa mereka yang berminat supaya datang sendiri ke pejabat Mara Perlis untuk berbincang memandangkan banyak program anjuran kerajaan negeri memerlukan penyertaan mereka.

Pada masa ini terdapat hampir 30 usahawan perniagaan trak makanan di Perlis dan semuanya telah mempunyai tapak tetap iaitu di pasar malam dan pasar sehari untuk berniaga, katanya.

Kata Zahari, Mara  juga dalam proses perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kangar untuk mendapatkan tapak  tetap bagi usahawan trak makanan menjalankan perniagaan.

Artikel Lain