suria

MBI Bakal Selaras Perniagaan Dengan GLC

ALOR SETAR: Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bakal menyelaraskan semua aspek perniagaannya bersama beberapa syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang lain bagi memastikan tidak berlaku pertindihan perniagaan antara mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin berkata, antara yang bakal diselaraskan adalah seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).

“Penyelarasan ini diharap mampu mendatangkan pulangan lebih baik kepada GLC terlibat serta kerajaan negeri dengan setiap syarikat berpeluang menjalankan tugas secara lebih sempurna dan fokus dalam bidang tertentu.

“Persepakatan ini juga di harap mengurangkan persaingan sesama sendiri. Dengan itu, semua pihak akan lebih berdaya maju sekali gus membawa pulangan lebih baik kepada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis 'Mailah Raya MBI' di Resort Keriang Hill di sini.

Di majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut melancarkan logo serta laman web baharu MBI sebagai salah satu langkah pembaharuan syarikat tersebut.

Mengulas mengenai logo dan laman web pula, Ahmad Shukri berkata pengenalan logo baharu itu adalah hasil kerjasama serta daya kreativiti semua kakitangan MBI bagi melambangkan organisasi lebih mantap, pragmatik dan dinamik dalam menjalankan perniagaan bagi pihak kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri menjelaskan pihaknya sedang mengusahakan beberapa projek termasuk teknologi hijau, infrastruktur dan hospitaliti di beberapa kawasan, antaranya membabitkan pembangunan Pulau Langkawi.

"Ada beberapa perkara sedang kami usahakan namun belum boleh diumumkan projek apa serta nilai sebenar projek itu," katanya.

Artikel Lain