suria

Shell Malaysia Teroka Segmen E-Dagang

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd meneroka segmen e-dagang hari ini dengan menawarkan produk pelincirnya menerusi Lazada Malaysia dalam usaha untuk mengembangkan capaian pasarannya.

Pengarah Eksekutif Shell Lubricants bagi Asia Tenggara, Troy Chapman, berkata langkah itu juga dibuat bagi melengkapkan rangkaian pasaran tradisionalnya  di Malaysia dan meningkatkan pertumbuhan kategori minyak kereta penumpang dan minyak motornya kepada lima peratus dalam tempoh jangka panjang.

“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan Lazada, dan kami akan membawa apa yang kami pelajari di Malaysia ke pasaran Asia Tenggara , kerana kami percaya kejayaan kami di sini boleh diterjemahkan ke pasaran lain,” katanya selepas melancarkan kedai dalam talian Shell di Lazada Malaysia, di sini, Khamis.

Chapman berkata, ia adalah satu langkah penting bagi Shell, menjadi syarikat pertama yang menawarkan minyak motor dan minyak kereta penumpang secara dalam talian di Malaysia.

Kedai dalam taliannya juga menawarkan pakej perkhidmatan menukar minyak dan penyenggaraan kenderaan motor, tetapi buat masa ini perkhidmatan itu hanya tersedia di Lembah Klang dan Johor.

“Dalam beberapa minggu lagi kami akan meningkatkannya dan menawarkannya ke seluruh negara,” katanya.

Chapman berkata strategi e-dagang adalah bagi tempoh jangka panjang, kerana keutamaan pengguna berkaitan dengan pakej membeli belah dn penyenggaraan kereta dalam talian akan bergantung kepada kejayaan kedai dalam taliannya.  -- Bernama

Shell Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain