suria

Malaysia Komited Muktamadkan RCEP Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Malaysia terus komited untuk memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang akhir tahun ini, bersama 15 negara lain yang terlibat, dalam usaha meningkatkan perdagangan ekonomi di Asia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha bagi menggerakkan pemuktamadan rundingan RCEP itu sedang giat dijalankan termasuk mengadakan mesyuarat di Hanoi, Vietnam pada 21-22 Mei lepas.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri menteri dan timbalan menteri negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand, China, Jepun, Korea Selatan dan India.

"Kelewatan memuktamadkan rundingan yang telah bermula sejak 2013 ini kerana ia melibatkan 16 buah negara, bagaimanapun kesemua negara terbabit menunjukkan komitmen tinggi.

"Kini semua 16 negara dalam proses memperincikan aspek terma berkaitan, sebagaimana dirumuskan dalam mesyuarat peringkat menteri terbaharu yang menetapkan keutamaan pelaksanaannya pada 2017," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rozman Isli (DAP-Labuan) mengenai tahap rundingan RCEP yang telah dicapai dan adakah Malaysia masih lagi komited untuk meneruskan rundingan tersebut.

Mustapa berkata tujuan utama rundingan itu bagi memastikan keseragaman dalam peraturan 16 negara yang terlibat bagi memudahkan lagi pelaburan dan perdagangan di rantau ini.

Jelasnya, RCEP berpotensi membentuk agenda perdagangan antarabangsa dengan menawarkan liberalisasi perdagangan lebih mendalam dan berskala besar dalam aspek barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang secara kasarnya turut meliputi separuh daripada populasi dunia.

"Malaysia sebagai sebuah ekonomi utama ASEAN juga boleh memanfaatkan usaha itu bagi memperkukuhkan perdagangan dengan rakan RCEP lain manakala syarikat tempatan pula dapat meninjau peluang untuk berkembang di peringkat serantau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain