suria

Johor, Gerbang Syarikat Xinjiang Ke Pasaran Halal Asean

XINJIANG: Johor boleh menjadi pintu masuk bagi syarikat dari Xinjiang untuk menembusi pasaran Halal Asean yang menguntungkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata lokasinya yang strategik kepada jiran Singapura, memberikan negeri ini daya saing dan menawarkan peluang yang luas di dalam dan di luar negara.

"Selain itu, Johor sudah mempunyai infrastruktur yang baik selain pensijilan Halal sudah diperakui, terutama oleh negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam," katanya pada dialog perniagaan bersama wakil dari Persatuan Pedagang dan Pengusaha Halal Xinjiang di sini pada hari Jumaat.

Asean  yang dianggotai 10 anggota kini menawarkan pasaran kepada 600 juta penduduk dengan majoritinya terdiri daripada masyarakat Islam.

Siew Keong kini mengetuai delegasi 11 anggota yang antara lain terdiri daripada wakil dari  Pusat Pelaburan Negeri Johor, Pelancongan Johor dan Majlis Islam Johor, dalam misi perdagangan ke Wilayah Autonomi China Xinjiang dan Gansu dari 17 hingga 23 Ogos.

Berdasarkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan China, kedua-dua pihak boleh bertukar maklumat tentang potensi sektor yang boleh diteroka dan pada masa yang sama mewujudkan sinergi yang boleh diketengahkan oleh kedua-dua pihak, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengilang dan Pengusaha Halal Xinjiang, Radil Abla berkata terdapat potensi besar bagi syarikat tempatan Malaysia untuk memasuki pasaran halal di wilayah autonomi itu.

"Xinjiang mempunyai 25 juta penduduk dengan kira-kira 60 peratus beragama Islam. Selain itu, terdapat 18 titik masuk ke rantau ini (Xinjiang) yang juga berperanan sebagai pintu masuk ke benua lain," katanya.

Selain itu, Xinjiang juga dikenali sebagai Timur Turkestan, kawasan strategik yang bersempadan dengan lapan negara - Mongolia, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan India.

Di Xinjiang, delegasi juga mengadakan dialog dengan wakili Pentadbiran Pameran Antarabangsa Xinjiang, serta persatuan perdagangan.

Anggota delegasi turut melawat Arman Muslim Foods Industrial Group Xinjiang Ltd, yang merupakan antara pengeluar makanan Halal terbesar di Xinjiang, selain kunjungan ke Doowin Group, syarikat pemaju hartanah. -- Bernama  


Johor, Xinjiang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain