MAKKAH: Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam (PTA) Arab Saudi kagum dengan prestasi Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengendalikan operasi tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) sejak diberikan tanggungjawab itu dua tahun lalu. Ia berdasarkan kepada pencapaian yang memberangsangkan iaitu 110 peratus prestasi pergerakan tren dan 97 peratus tahap kepuasan penumpang yang dicapai Prasarana dalam tempoh berkenaan. Justeru, PTA, badan yang bertanggungjawab mengawal selia pengangkutan awam di negara itu membayangkan bahawa Prasarana, yang kini memasuki fasa terakhir kontrak pengoperasian tren itu, wajar terus diberikan peluang mengendalikan MMMSL selepas ini. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden PTA Dr Rumaiah al-Rumaiah semasa pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME) Masnizam Hisham di Riyadh beberapa hari lalu. Masnizam berkata PTA sememangnya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan Prasarana dalam pengendalian tren berkenaan untuk musim haji seterusnya. "Ini tahun ketiga kita beroperasi dan juga musim (haji) terakhir (mengikut kontrak semasa). Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita berharap (pada tahun ini) dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk 'Tetamu Allah'. "Malah persiapan awal sudah kita buat sejak setahun lalu bagi mendapatkan kesempurnaan dalam penugasan dan perkhidmatan diberikan untuk operasi tahun ini," katanya pada Sesi Taklimat Persediaan Operasi Tren Haji di Depoh MMMSL, di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengarah Urusan MMMSL Ahmad Jamaluddin Salleh, Pengarah Penyelenggaraan MMMSL Nor Azmi Aziz dan Pengarah Operasi MMMSL Burhanordin Ismail selain sebahagian daripada kira-kira 500 kakitangan Prasarana yang terlibat dalam operasi pengendalian tren haji tahun ini. Mengenai peluang untuk Prasarana menyambung kontrak pengendalian tren itu, Masnizam berkata pihaknya optimis dan sentiasa bersedia untuk mengadakan rundingan bersama pihak berkaitan di Arab Saudi, termasuk Kementerian Haji. "Berbeza dengan kontrak sebelum ini yang memerlukan kita melakukan bidaan, kontrak baharu mungkin menggunakan konsep rundingan terus. Prasarana dijangka berdepan cabaran tiga syarikat pengendali tren dari Eropah. "Kita bukan hanya membawa nama Prasarana, tetapi kita membawa bersama imej negara, terutama prestasi baik negara dalam bidang pengurusan pengangkutan awam," katanya. Prasarana selaku syarikat peneraju pengurusan pengangkutan awam Malaysia memperoleh kontrak pengendalian tiga tahun pengoperasian tren MMMSL bermula 2015, membabitkan nilai SR800 juta (RM911 juta).-- Bernama