KUALA LUMPUR: Zhejiang Geely Holdings Group dari China telah melantik Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Daniel Donghui Li sebagai Pengerusi Lotus. Zhejiang Geely dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pelantikan itu dibuat selepas selesainya, pengambilalihan kepentingan majoriti 51 peratus dalam Lotus Advance Technologies Sdn Bhd dengan baki 49 peratus dipegang oleh Etika Automotive Sdn Bhd dari Malaysia. Beliau berkata selepas ini, syarikat itu dengan rakan kongsinya akan memberi tumpuan bagi membangunkan Lotus untuk menjadi jenama British yang berdaya saing pada peringkat global serta peneraju yang diiktiraf dalam pasaran kereta sport. "Kami amat amat yakin Lotus akan mampu melonjak melangkaui jangkaan industri automotif dan asas pengguna dalam masa terdekat," katanya. Berikutan penyempurnaan transaksi itu, Zhejiang Geely juga telah melantik Ketua Pegawai Teknologi dan Naib Presiden Auto, Feng Qing Feng serta Naib Presiden untuk Penasihat Eksekutif dan Perniagaan Antarabangsa kepada Presiden di Geely Holding, Nathan Yu Ning sebagai ahli Lembaga Lotus. Etika pula, melantik Datuk Sharil Tarmizi, seorang perunding korporat serta penyokong jangka panjang untuk syarikat-syarikat teknologi, menduduki lembaga pengarah Lotus dan akan membuat pengumuman berkaitan calon lain dalam masa yang sesuai. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Jean-Marc Gales akan kekal dalam jawatan yang disandangnya sejak menyertai syarikat berkenaan pada 2014. Gales berkata berikutan kejayaan memulihkan perniagaan syarikat itu, Lotus kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan. Katanya, Lotus menghasilkan kereta yang terbaik dalam sejarah dan kini sedang membangunkan kereta sport generasi baharu yang lebih mewah, menampilkan keupayaan Lotus dalam menghasilkan kenderaan yang sangat dinamik, lebih ringan, dengan reka bentuk dan aerodinamik disumbangkan daripada sumber dan kekuatan global Geely Holdings. - BERNAMA