suria

MAHB Peruntuk RM150 Juta Tingkatkan Kesiapsiagaan AFRS

SEPANG: Pengendali lapangan terbang utama negara, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperuntukan  kira-kira RM150  juta dalam tempoh lima tahun lepas bagi meningkatkan kesiapsiagaan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) termasuk pemilikan beberapa aset baharu.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata pembelian aset baharu adalah selaras dengan perkembangan teknologi dan kecanggihan pesawat yang menggunakan lapangan terbang.

"Walaupun peralatan sedia ada masih boleh digunakan tapi kita perlu juga membeli aset-aset terkini. Ini komitmen kita untuk  menentukan keselamatan lapangan terbang, pesawat serta pengguna keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran sambutan 70 tahun  penubuhan AFRS, di sini, Rabu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang hadir melancarkan sambutan tersebut, berkata AFRS perlu berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi mendepani sebarang kemungkinan kemalangan pesawat dalam era industri penerbangan yang serba mencabar sekarang.

"AFRS kena menjadi lebih efisien dengan peningkatan jumlah penerbangan serta penggunaan pesawat yang besar dan canggih. Anggotanya perlu dibekalkan pengetahuan, kemahiran serta peralatan keselamatan terkini,” katanya kepada pemberita  selepas pelancaran.

Ditubuhkan pada 1947, AFRS  kini mempunyai kekuatan 833 anggota di seluruh negara  dengan 250 bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ab Aziz juga mahu MAHB memastikan prosedur menyelamat sentiasa mengikut standard yang ditetapkan, jelas dan praktikal, sekali gus memudahkan AFRS menjalankan tugas ketika menghadapi sebarang kemalangan melibatkan pesawat di lapangan terbang.

"Pelarasan prosedur keselamatan antara semua agensi terlibat juga perlu diberi perhatian kerana sebarang percanggahan bukan sahaja mencacatkan operasi tetapi lebih membimbangkan keadaan itu akan mengakibatkan kesan yang amat buruk dalam pengurusan bencana,” katanya.-- Bernama

MAHB

Artikel Lain