suria

AirAsia Jepun Lancar Laluan Nagoya-Sapporo

KUALA LUMPUR: AirAsia Jepun, anak syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia akan memulakan penerbangan sulungnya dari Nagoya ke Sapporo bermula 29 Oktober ini.

AirAsia Jepun dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, perkhidmatan penerbangan dua kali sehari itu akan menghubungkan hab utama AirAsia Jepun di Nagoya ke ibu kota wilayah utara Hokkaido itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Osamu Hata, berkata bagi meraikan penerbangan sulung ini, AirAsia akan menawarkan pelanggannya tambang promosi sehala istimewa daripada hanya lima yen (100 yen = RM3.77) bermula 17–22  Oktober bagi perjalanan antara 29 Oktober 2017 hingga 24 Mac 2018.

“Kami berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair Nagoya.

“AirAsia Jepun komited untuk menghubungkan seramai mungkin para tetamu ke rangkaian meluas AirAsia dengan tambang rendah serta mengeratkan komuniti dan budaya untuk memajukan ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata dengan pelancaran laluan itu, AirAsia akan mencetus revolusi penerbangan tambang rendah di Jepun.

“Dengan rakan kongsi baharu yang mempunyai visi yang sama, saya yakin AirAsia akan menjadi pilihan penerbangan di Jepun,” katanya.

AirAsia Jepun adalah usaha sama antara AirAsia Bhd, Rakuten Inc, Octave Japan Infrastructure Fund I GK, Noevir Holdings Co Ltd dan Alpen Co Ltd.

Syarikat penerbangan itu mengendalikan dua pesawat A320-200 dari habnya Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya. - BERNAMA

AirAsia Jepun

Artikel Lain