KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangka kadar inflasi meningkat lagi kepada 4.6 peratus pada September 2017, di tengah-tengah kenaikan harga minyak. Peningkatan itu dijangka berada pada 0.9 mata peratusan lebih tinggi berbanding kenaikan 0.5 mata peratusan pada Ogos, kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan pada Selasa. Kenaikan pantas harga pengguna disokong oleh harga petrol runcit yang tinggi pada purata RM2.19 seliter pada September (berbanding RM2.12 pada Ogos) susulan kenaikan tinggi harga minyak mentah global. "Purata harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$56.15 (US$1 = RM4.22) setong pada September yang merupakan paras tertinggi sejak Julai 2015. "Ini akan, seterusnya, meningkatkan sumbangan komponen pengangkutan kepada keseluruhan inflasi pada September," kata RAM. Dalam keadaan ini, agensi penarafan itu mengekalkan inflasi keseluruhan pada 3.8 peratus yang diunjurnya bagi 2017. "Keseluruhan harga pengguna dijangka meningkat pada kadar perlahan 3.5 peratus dalam separuh kedua 2017 memandangkan jangkaan sumbangan sederhana daripada komponen makanan dan pengangkutan apabila kesan asas rendah menghilang, terutamanya dalam suku keempat tahun ini,” kata RAM.