SHAH ALAM: Acer Malaysia telah melancarkan barisan produk terbaharunya untuk pasaran Malaysia, merangkumi pelbagai jenis komputer riba serta meja yang sofistikated, monitor dan projektor P Series. Produk baharu ini terdiri daripada komputer riba Acer Spin 5 berukuran 15.6 inci yang sedang hangat diperkatakan, dilengkapi dengan pemproses Intel Core dengan memori DDR4 sebanyak 16GB, harga bermula daripada RM3,599 sehingga RM4,999. Pengarah Produk, Jualan dan Pemasaran Acer Sales and Services Sdn Bhd, Chan Weng Hong, berkata sebagai pemimpin industri, Acer sentiasa mahu memberikan teknologi terbaharu dalam sistem pengkomputeran kepada pelanggannya. Acer turut memperkenalkan komputer riba ultra ternipis 15.5 inci, Swift 3, yang dipasang dengan pemproses Intel Core Generasi Kelapan serta kad grafik NVIDIA GeForce MX150, yang dijual pada harga runcit berjumlah RM4,299. Ia juga melancarkan Acer XR382CQK, monitor pertama syarikat itu yang menmpilkan ciri-ciri paparan UltraWide QHD+(3840 x 1600), skrin melengkung IPS 37.5 inci itu, ia dijual pada harga RM4,999. Sementara itu, projektor P Series menjadi peranti pertama yang dilengkapi dengan penapis BluelightShield Acer, yang bertujuan untuk mengurangkan ketegangan mata disebabkan oleh pendedahan berlebihan kepada cahaya biru. Projektor itu berharga antara RM1,599 dan RM2,199. Komputer meja, semua dalam satu, Aspire C22-860, menampilkan monitor FHD 16:9 tanpa sempadan dengan ratio skrin kepada kerangka sebanyak 90 peratus, dijual pada harga RM2,399. Kesemua produk terbaharu ini dijual di semua wakil jualan Acer yang sah di seluruh negara mulai sekarang, kecuali Acer Spin 5 dan Acer Aspire C22-860, yang hanya boleh didapati pada pertengahan November ini. Bernama