REEBONZ, platform dalam talian (online) untuk membeli dan menjual pelbagai jenis produk mewah yang beribu pejabat di Singapura, membuka butik pertamanya di negara ini, di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Cawangan itu menjadi butik ketiga Reebonz di dunia selepas pembukaan kedai utamanya di Singapura dan Australia. Ketua Pembangunan Korporat dan Projek Strategiknya, Nupur Sadiwala berkata, pembukaan cawangan butik Reebonz di negara ini akan membolehkan pelanggan membeli secara online dan mengambil barangan di premis tersebut. "Ia sekali gus beri pilihan koleksi barangan yang tersedia dengan lebih fleksibel kepada pelanggan. "Memang menjadi hasrat kami untuk memperkasakan pelanggan dengan menyediakan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan memberi mereka lebih banyak kawalan dalam proses pembelian," katanya. Nupur berkata, Reebonz bukan sahaja menyediakan platform membeli dan menjual barangan mewah, tetapi akses kepada rangkaian produk melibatkan lebih 500 jenama. "Pelanggan mempunyai pilihan untuk melayari dan membeli-belah di mana-mana sahaja menerusi aplikasi mudah alih iOS dan Android. "Kini, mereka mempunyai saluran tambahan baru dengan pembukaan butik Reebonz," katanya. Menurutnya, dengan pembukaan butik di Malaysia, Reebonz berharap untuk kuasai bahagian pasaran lebih luas terutama golongan milenia yang akan terus membentuk segmen pelanggan syarikat lebih meluas. "Kami juga merancang untuk mewujudkan peningkatan kesedaran jenama secara berkesan kepada pelanggan," katanya.- Sinar Harian