suria

Pos Malaysia Lancar Pos Laju Shield

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua, kiri) dan Presiden Insurans Am dan Takaful Zurich Malaysia David Fike (dua, kanan) pada majlis pelancaran 'Pos Laju Shield', Selasa.

ALOR GAJAH: Pos Malaysia Bhd, menerusi cabang kuriernya, Pos Laju, melancarkan pakej perlindungan takaful prabayar iaitu ‘Pos Laju Shield' yang dijamin Zurich Takaful Malaysia Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pelan perlindungan serendah antara RM0.60 dan RM0.80 bagi setiap barangan tersebut menawarkan nilai perlindungan kerugian dan kerosakan menyeluruh sehingga RM4,000.

Beliau berkata, pelan perlindungan itu ditawarkan menerusi empat pakej untuk memberi nilai tambah perkhidmatan Pos Laju selain pelanggan dapat melindungi barangan berharga mereka.

“Kita menyasarkan pakej perlindungan takaful prabayar melalui Zurich Takaful Malaysia itu mencatat nilai jualan RM1.2 juta menjelang hujung tahun ini, dan sejak ia diperkenalkan pada Jun lepas, nilai jualan yang direkodkan adalah lebih RM54,000,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan perlindungan itu di sini, Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Pos Malaysia, Nor Azizan Tarja serta Presiden Insurans Am dan Takaful Zurich Malaysia, David Fike.

Mohd Shukrie berkata, tawaran itu secara tidak langsung menyokong peningkatan jualan Pos Laju kira-kira 20 peratus pada tahun ini, daripada 15 peratus pada tahun sebelumnya, didorong penjualan barangan menerusi e-dagang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan perlindungan berkenaan ditawarkan pada RM8.48 bagi pakej 'Shield 1' untuk perlindungan 10 bungkusan Pos Laju; 'Shield 2' bagi perlindungan 100 bungkusan (RM74.20); 'Shield 3' bagi perlindungan 300 bungkusan (RM206.70) serta 'Shield 4' bagi perlindungan 500 bungkusan (RM318) dan semua harga berkenaan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Perlindungan  takaful itu adalah selama setahun dari tarikh pembelian pembungkusan.

Katanya, pelan takaful tersebut memberi perlindungan terhadap sebarang kelewatan penghantaran barangan pelanggan termasuk akibat bencana alam selama lima hari pada nilai RM7 bagi setiap hari tempoh bekerja.

“Pos Laju Shield memberikan pampasan kelewatan dan ia hanya terpakai apabila penghantaran bungkusan pelanggan melebihi dua hari dari tempoh penghantaran standard," katanya.

Mengenai isu kelewatan penghantaran, Mohd Shukrie berkata, Pos Laju mencatat tahap pencapaian penghantaran tepat masa yang tinggi iaitu sekitar 95 peratus, lebih tinggi daripada peratusan industri sebanyak 85 peratus.

Beliau  berkata pencapaian tersebut didorong oleh pelbagai penambahbaikan  dari segi infrastruktur serta usaha memastikan  kelancaran sistem penghantaran bermula di peringkat awal.

Katanya, Nota Kiriman pada bungkusan Pos Laju yang tertanggal telah menyebabkan isu kelewatan atau kehilangan barangan.

“Boleh dikatakan 99 peratus kelewatan atau kehilangan barangan adalah disebabkan perkara berkenaan, dan semua barangan tersebut masih berada di pusat operasi Pos Laju dan tidak dicuri seperti persepsi orang ramai,” katanya -- Bernama

Pos Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain