SEREMBAN: QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali rantaian restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut merancang untuk bekerjasama dengan pemaju utama di seluruh negara bagi membuka restoran baharu sebagai sebahagian daripada model perniagaan baharunya. Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Azahari Kamil berkata, syarikat itu ingin bekerjasama dengan pemaju yang melaksanakan pembangunan perbandaran bersepadu. "Dalam usaha kami untuk berkembang, kami perlu mengenal pasti rakan usaha sama dan rakan kongsi berpotensi kerana kami percaya semangat kerjasama akan menjadikannya lebih mudah untuk kami, dari segi mengurangkan kos serta memasarkan KFC dalam komuniti tempatan. "Kami mahu mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pemaju yang dihormati yang dapat mewujudkan komuniti yang baik kerana dengan kejayaan perbandaran, akan wujud lebih banyak nilai dan pelanggan yang akan datang ke restoran kami," katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah cawangan KFC ke-700 di Bandar Sri Sendayan dekat sini, Rabu. Pengerusi Matrix Concepts Holdings Bhd (MCHB), Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dan Pengarah Urusan Kumpulan MCHB, Datuk Lee Tian Hock turut hadir. Mohamed Azahari berkata, ia adalah kerjasama pertama antara QSR Brands dan pemaju, MCHB, di Negeri Sembilan "Malah kami telah menjalin kerjasama dengan banyak lagi pemaju utama di Selangor dan ia adalah proses yang berterusan. "Kita bercakap mengenai kerjasama pintar di mana ia bukan mengenai promosi restoran KFC, tetapi pemaju juga memainkan peranan tersebut manakala kami memainkan peranan mempromosi perbandaran baharu ini," katanya dengan menambah, enam lagi restoran KFC akan dibuka menjelang akhir tahun. Dalam perkembangan lain, Mohamed Azahari berkata, 1,060 restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara akan dilengkapi perkhidmatan WiFi menjelang Januari tahun depan. "Ini adalah kerjasama dengan TM dan kami akan menghubungkan semua restoran dengan sistem pembayaran terkini agar pelanggan mempunyai banyak pilihan untuk membuat pembayaran, termasuk melalui e-dompet," katanya. Mengenai restoran KFC baharu di Bandar Sri Sendayan, Mohamed Azahari berkata, restoran tersebut akan dibina di kawasan 0.4047 hektar dan dijangka dibuka pada September tahun depan dengan menawarkan konsep makan di situ dan pandu lalu. "Restoran setingkat ini boleh menampung 600 pelanggan pada satu satu masa serta dilengkapi teknologi hijau asas seperti tenaga solar dan lampu LED," katanya dengan menambah KFC melayani 20 juta pelanggan sebulan. Sementara itu, Lee berkata, restoran KFC akan menjadi titik pertemuan penduduk dan pelawat di samping merangsang aktiviti komersial perbandaran tersebut. "Kemunculan jenama KFC di Bandar Sri Sendayan akan menjadi pemangkin dalam mengalu-alukan lebih banyak jenama terkenal ke perbandaran ini," katanya.-- Bernama