suria

China Dijangka Turut Labur Dalam Score

Amar Wilson Baya Dandot

KUCHING: China dijangka membawa pelaburan langsung asing ke negeri ini dengan melabur dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), kata Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda).

Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Amar Wilson Baya Dandot berkata, sebuah syarikat dari republik tersebut telah menunjukkan minat untuk melabur dalam satu daripada koridor pembangunan ekonomi negeri.

 “Pada masa lalu, negara lain seperti Jepun, Afrika Selatan dan Singapora telah melabur dalam SCORE, yang dibangunkan di kawasan seluas 70,000 kilometer persegi dengan 600,000 penduduk.

“Pelaburan itu nanti akan mempercepatkan pembangunan dan pada masa sama mempunyai kesan pengganda dalam semua bidang," katanya kepada pemberita selepas sesi ahli penal mengenai “Peluang Pelaburan Dalam Score” di sini, Khamis.

Dilaporkan, jumlah pelaburan sektor swasta dan awam di Score tahun lalu berjumlah lebih RM104 bilion.

Wilson juga berkata, selain China, beberapa pelabur besar juga merancang untuk melabur dalam industri keluli serta aktiviti hiliran seperti pemprosesan aluminium.

“Kami juga akan terbabit dalam industri berasaskan pertanian," katanya dengan menambah, lembaga itu kini sedang berbincang mengenai penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tersebut.

Beliau yakin terhadap projek yang sedang dilaksana dan percaya lebih ramai pelabur akan lancar projek baharu pada masa depan.

Menurut Wilson, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam memenuhi permintaan pelabur, terutama membekalkan tenaga serta infrasturktur seperti jalan, utiliti dan telekomunikasi, Recoda yakin dapat menyediakan kemudahan terbabit.

Dilancarkan pada Februari 2008 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, inisiatif SCORE itu bertujuan untuk memanfaatkan potensi tenaga hidro yang banyak bagi merangsang pembangunan ekonomi negeri tersebut.

Ia meliputi wilayah tengah, bermula dari Samalaju di Bahagian Bintulu ke Tanjung Manis di Bahagian Mukah dan kini telah diperluas untuk meliputi bahagian atas Rajang dan kawasan tanah tinggi serta wilayah utara Sarawak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AirAsia Teruskan Kempen

Artikel Lain