PETALING JAYA: Managepay Systems Berhad (Kumpulan MPay) mengambil langkah sepakat bersama Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP) dalam mengembangkan penggunaan era digital tanah air. Peredaran zaman yang semakin pantas menjadi digital salah satu platform tepat dalam menghubungkan pihak kerajaan, rakyat, badan berdaftar seperti badan bukan berkanun (NGO) dan juga koperasi. Sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberi 'lampu hijau' sebagai sokongan bagi melaksanakan Program Kad Prabayar Negaraku Mpay Mastercard secara keseluruhannya. Menurut Pengasas KSP Dr. Mohd Zamri Noordin, melalui kerjasama dan pelantikan secara eksklusif ini, pihak kelab merancang untuk lebih serius dan konsisten dalam melaksanakan program. “Visi kami adalah untuk memanfaatkan teknologi baharu dalam mendidik dan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia termasuk kumpulan NGO dan koperasi. "Kerjasama dengan Kumpulan Mpay seiring dengan visi kelab kami dalam mengetengahkan idea dan kepakaran golongan profesional bagi membentuk program kemasyarakatan yang berkualiti untuk dikongsi seluruh rakyat Malaysia," jelasnya. Tambah Dr Zamri, ciri baharu yang diperkenalkan melalui program ini membolehkan kerajaan, masyarakat termasuk ahli-ahli NGO dan koperasi membantu dan memahami keperluan antara satu sama lain secara terus. "Ini juga membolehkan usaha bagi mendidik masyarakat ke arah pengguna yang bijak dan berhemah dapat dijayakan dengan berkesan. Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan MPay, Datuk Chew Chee Seng berkata, program MPay NegaraKu bakal memasuki era tanpa tunai dengan kebolehan dalam pelbagai aspek. "Ia boleh digunakan untuk menghantar dan menerima dana (wang) antara satu sama lain, membayar bil dan tambah nilai kad prabayar telefon bimbit, membeli belah secara dalam talian dan terus, menikmati kupon, diskaun dan kad hadiah. "Ciri baharu ini juga akan membolehkan pengguna untuk menderma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan. "Penghantaran siaran pesanan (broadcast messaging) juga boleh digunakan untuk berkongsi berita penting antara satu sama lain. "Ini bermakna pengerahan bantuan perkongsian akan lebih cepat ketika kecemasan. "Kad prabayar MasterCard yang bertemakan NegaraKu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia dalam era digital baharu ini," jelasnya yang juga merupakan pengasas kepada Kumpulan Mpay. Kad Prabayar Negaraku Mpay Mastercard bakal dilancarkan sepenuhnya menjelang 2018.