suria

Institusi Perbankan Lulus RM57 Bilion Pinjaman Perumahan Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM57 bilion pinjaman perumahan telah diluluskan institusi perbankan kepada 142,558 pemohon untuk pembelian rumah buat kali pertama dari bulan Januari hingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong berkata sejak 2010, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM)  memperkenalkan pelbagai skim serta langkah bagi memudahkan pemilikan rumah di Malaysia untuk peminjam yang layak terutamanya bagi pembelian rumah pertama.

Beliau berkata antaranya  skim ‘set-up financing' PR1MA, MyHome, Rumawip, Rumah Selangorku, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.

Selain itu,  mengurangkan kos membeli rumah menerusi Skim MyDeposit dengan memberi pengecualian duti setem 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi pembelian rumah bernilai RM300,000 dan ke bawah, katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yong Wui Ching yang ingin tahu statistik kelulusan pinjaman bank bagi pembelian rumah pertama dari tahun 2012 sehingga kini dan langkah yang dilakukan BNM bagi memudahkan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan perumahan tersebut.

Selain itu, Lee berkata BNM juga menyediakan laman web Housing Watch di  http://www.housingwatch.my  yang mengandungi maklumat terkini mengenai hartanah di Malaysia termasuk statistik pinjaman perumahan, skim bantuan kerajaan kepada golongan belia dan pembeli rumah kali pertama serta khidmat nasihat untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain