suria

Sistem Perbankan Asia Pasifik Stabil Pada 2018

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan di Asia Pasifik, keseluruhannya mempunyai unjuran yang stabil pada 2018, kata Moody's Investor Service.

Naib Presiden Kumpulan dan Pegawai Kredit Kanan Moody's Financial Insitutions Group, Eugene Tarzimanov, berkata bagaimanapun, cabaran adalah ketara  dari segi risiko jangka panjang berkaitan dengan leveraj sektor swasta pada peringkat  tinggi.

"Metrik kemampuan bayar adalah kukuh dalam kebanyakan sistem perbankan di Asia Pasifik yang menerima penarafan Moody's, didorong oleh pemulihan global serta pertumbuhan kredit yang sederhana.

"Selain itu, pembiayaan bank dan kecairan akan terus mantap, manakala kebanyakan kerajaan akan mengekalkan sokongan kepada pihak bank, dengan kemungkinan yang sangat rendah jika bank-bank ini memerlukan bantuan daripada pemiutang kanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Unjuran stabil diberikan kepada sistem perbankan negara berekonomi maju seperti Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, New Zealand, Korea dan Taiwan, manakala bagi ekonomi membangun dan baru muncul, unjuran tersebut merangkumi China, India, Malaysia, Thailand, Filipina dan Mongolia.

Agensi penarafan memberikan sistem perbankan di Indonesia dan Vietnam dengan unjuran yang positif, manakala Sri Lanka adalah negatif. Analisa kesimpulan ini boleh didapati dalam laporan 'Banks-Asia Pacific, 2018 Outlook' yang baru diterbitkan oleh Moody's.

Moody's berkata pemulihan ekonomi global dan serantau yang mantap, termasuk harga komoditi yang stabil akan memberikan sokongan kepada aset bank yang lebih berkualiti, manakala nisbah pinjaman bermasalah menunjukkan pemulihan dan kemampuan menyerap pinjaman bermasalah adalah kukuh.

Firma itu menjangkakan kerajaan di rantau berkenaan akan tetap menyokong pihak bank, yang menyediakan peningkatan kepada penarafan deposit dan tidak bercagar kanan, dan majoriti negara masih belum bersedia untuk memperkenalkan perkongsian beban melalui jaminan masuk berkanun bagi pemiutang kanan.-- Bernama 


Asia Pasifik

Artikel Lain