suria

AirAsia-Uber: Perjalanan Kini Lebih Mudah

PERJALANAN pergi balik ke lapangan terbang akan lebih mudah apabila syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan teksi e-hailing, Uber.

Kedua-dua pihak memeterai kerjasama melibatkan 52 bandar meliputi 16 pasaran merentasi Asia Pasifik dan Amerika Syarikat di mana AirAsia  beroperasi dan aplikasi Uber dapat dicapai.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, pelanggan boleh membuat tempahan untuk tempoh perjalanan dalam tempoh 30 hari, iaitu ketika mengesahkan atau menempah atau mendaftar masuk ke penerbangan AirAsia melalui laman web atau telefon bimbit.

Pengguna Uber baharu juga berpeluang mendapat perkhidmatan pengangkutan percuma atau diskaun jika memasukkan kod promosi "AIRASIA" apabila mendaftar ke akaun berkenaan.

Ketua Pegawai Perniagaan Uber (Asia Pacific), Brooks Entwistle berkata, menerusi kerjasama ini, kedua pihak dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan untuk ke lapangan terbang atau menunggu mereka sebaik pesawat mendarat.

"Jadi, sama ada anda mahu pulang rumah untuk bersama keluarga atau ke mesyuarat penting, perjalanan anda akan lebih mudah, dari pintu ke pintu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sentiasa mahu melengkapkan pengalaman yang dilalui pelanggan di dalam pesawat dengan perkhidmatan di luar.

"Bekerjasama dengan Uber membolehkan pelanggan merancang perjalanan bermula dari saat keluar dari rumah hingga tiba ke destinasi," katanya.


AirAsia, Uber

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain