PASANGAN Chris Martin dan Gwyneth Paltrow dikhabarkan akan membatalkan hasrat mereka untuk bercerai selepas mengumumkan perpisahan pada Mac lalu. Menurut laporan Daily Mail, sejak berpisah pasangan itu berusaha untuk memperbaiki hubungan dan rumah tangga mereka dengan mengahadiri sesi kaunseling. "Chris dan Gwyneth masih tinggal sebumbung dan sesi kaunseling yang dihadiri mereka banyak membantu dalam memperbaiki hubungan mereka," kata sumber itu. Malah kata sumber itu lagi, pasangan berkenaan masih memakai cincin perkahwinan mereka selain sering dilihat keluar bersama-sama biarpun sudah berpisah. Khabar perpisahan mereka diumumkan sendiri oleh Gwyneth dan kedua-duanya tidak pernah menjelaskan sebab sebenar mereka mengambil keputusan itu.