PELAKON drama bersiri Baywatch Pamela Anderson dilaporkan nekad mahu bercerai dengan suaminya, Rick Salomon biarpun rumah tangga yang dibina baharu sahaja berusia enam bulan. Portal E! Online bagaimanapun melaporkan punca sebenar Pamela ingin bertindak sedemikian tidak diketahui kerana pasangan itu kelihatan bahagia sebelum ini. Pasangan tersebut pernah berkahwin buat kali pertama pada tahun 2007 namun perkahwinan itu hanya bertahan selama dua bulan. Pamela dan Rick berkahwin buat kali kedua pada Januari lalu. Berita tersebut turut mengejutkan banyak pihak kerana Mei lalu, pasangan itu kelihatan cukup bahagia ketika menghadiri Festival Filem Cannes. Sepanjang berada di Perancis juga, kedua-dua mereka sempat bercuti dan gambar yang berjaya dirakamkan paparazzi memperlihatkan pasangan itu cukup romantik.