PELAKON dan penyanyi terkenal Korea Selatan, Kim Hyun Joong dilaporkan bakal menyertai latihan ketenteraan selama dua tahun pada Mac 2015. Korea Herald melaporkan, keputusan itu dibuat selepas namanya tercalar ekoran tuduhan dia memukul bekas kekasihnya sehingga ia menjadi kes polis. Sumber memberitahu, Hyun Joong sedang dalam proses merombak jadual dan kontrak supaya dia dapat menyertai latihan ketenteraan yang diwajibkan kepada setiap lelaki berusia 18 tahun ke atas di negara itu. Nama Hyun Joong sepatutnya menyertai latihan tersebut pada 7 Oktober lalu tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana dia sedang dalam siri konsert jelajah yang hanya berakhir pada November ini.