LONDON: Perbadanan Penyiaran British (BBC) telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan pengacara popular dan kontroversi mereka, Jeremy Clarkson dengan tidak memperbaharui kontraknya yang kebetulan akan tamat menjelang hujung minggu ini. Keputusan itu dibuat setelah satu jawatankuasa siasatan dalaman mendapati Clarkson melakukan satu serangan fizikal tanpa provokasi ke atas rakan sekerjanya iaitu penolong penerbit Top Gear, Oisin Tymon awal bulan ini. Pengumuman mengenai keputusan yang sudah pastinya mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif itu dibuat oleh Ketua Pengarah BBC, Lord Tony Hall. Ekoran pemecatan Clarkson, kedudukan dua orang rakan hosnya, James May dan Richard Hammond masih belum ditentukan lagi oleh BBC. Kedua-duanya menyatakan rasa terkejut dan sedih berakhirnya satu era yang menakjubkan dengan pemecatan Clarkson. Mereka tidak menyatakan sama ada akan menyambung tugas bersama BBC dengan ketiadaan Clarkson. Sepertimana Clarkson, Hammond dan May juga adalah kakitangan kontrak BBC. Hall telah mengarahkan Pengawal Rancangan BBC 2, Kim Shillinglaw untuk mengkaji semula format Top Gear tahun depan. Dia tidak menyatakan apa yang akan dilakukan dengan baki program Top Gear sepanjang tahun ini. Kata Hall, BBC tidak mengambil keputusan ini secara mudah dan menyedari yang ia akan mengundang reaksi yang pelbagai. Bagaimanapun tegas Hall, tindak-tanduk Clarkson bagaikan 'telah melanggari sempadan' dan perbuatannya itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja atau ditutup sebelah mata hanya kerana dia adalah pengacara BBC paling popular. Sebagai sebuah stesen penyiaran yang mempunyai integriti, BBC katanya, tidak boleh dilihat mempunyai dua standard yang berbeza di kalangan kakitangannya. Walaupun Clarkson dan Top Gear menjana pendapatan yang besar untuk stesen televisyen itu tetapi BBC katanya masih berfungsi atas wang pembayar cukai. Clarkson telah digantung tugas sejak 10 Mac lalu selepas isu dia menumbuk Oisin Tymon tersebar luas dalam media sosial dan internet. Sejak itu, program Top Gear telah dihentikan buat sementara waktu manakala empat program siaran langsungnya yang dijadualkan di Norway hujung minggu ini turut dibatalkan walaupun tiket untuk penonton menyaksikannya habis dijual. Insiden yang berlaku di Hotel Yorkshire pada awal bulan ini, dikatakan berpunca daripada hidangan makan malam yang sejuk selepas sehari suntuk krew rancangan itu selesai menjalani proses pengambaran di kawasan berhampiran. Clarkson yang terkenal dengan sikap panas barannya telah hilang sabar lalu menghayunkan penumbuk ke muka Tymon tanpa sebarang provokasi dan kemudian melemparkan rasa marahnya ke atas penolong penerbit itu dengan kata-kata kesat dan makian. Menurut Hall, siasatan yang dijalankan mendapati, selepas ditumbuk, Tymon terpaksa mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan sebuah hospital akibat pendarahan pada bibir.Insiden itu, jelasnya, berlaku dalam tempoh 30 saat dan hanya berhenti selepas dileraikan oleh saksi-saksi yang lain. Bagaimanapun serangan verbal terhadap Tymon berterusan selepas dia ditumbuk dengan Clarkson membuat ugutan untuk memastikan Tymon disingkir dari krew Top Gear. Tymon selepas itu tidak memfailkan aduan rasmi berhubung insiden tersebut sebaliknya Clarkson yang pergi mengadap pengurusan tertinggi menceritakan apa yang terjadi. Akibatnya, Pengarah Program BBC, Danny Cohen, merasakan yang dia tidak mempunyai pilihan melainkan menggantung tugas Clarkson sehingga satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan dan menyiasat kejadian itu. Susulan daripada keputusan untuk mengantungkan tugas Clarkson itu, BBC telah menghentikan penyiaran siri Top Gear termasuk program-program yang belum dirakamkan lagi sehingga satu keputusan rasmi berhubung nasib Clarkson dibuat. Bagaimanapun para peminat setia Top Gear memprotes dengan mengumpulkan tanda tangan mendesak supaya BBC menarik balik keputusan untuk mengantung tugas Clarkson dan menyiarkan semula program Top Gear seperti sediakala. BBC enggan tunduk kepada tekanan itu. Sementara itu, Hall dalam pengumumannya turut menegaskan bahawa apa yang telah terjadi ini tidak akan sedikit pun memadam sumbangan Clarkson kepada BBC dan Top Gear. Manakala Tymon pula dalam satu kenyataan ringkas berkata, dia berterima kasih kepada BBC di atas siasatan yang telus dan mendalam berhubung insiden yang sangat-sangat dikesali ini. "Saya telah berkhidmat dengan Top Gear sudah hampir sedekad dan ia adalah program yang saya sangat-sangat sayangi serta dekat di hati dan sepanjang tempoh tersebut, Jeremy dan saya mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dan positif. "Dia adalah seorang yang berbakat luar biasa dan saya sedar, ramai yang akan rasa kecewa khidmatnya bersama Top Gear akan berakhir begini," ujarnya. Dan nampaknya kontroversi itu tidak akan berakhir begitu sahaja kerana Polis Daerah Yorkshire Utara telah membuat pengumuman yang mereka akan menyiasatan insiden tersebut sebagai satu kes jenayah. Perdana Menteri David Cameron dalam reaksi segera berkata, episod ini hanya membuktikan satu perkara iaitu perbuatan kasar, ganas dan pencabulan ke atas hak pekerja lain tidak boleh diterima dalam budaya kerja di mana-mana pun tidak kira betapa popularnya seseorang itu. Top Gear, yang merupakan program paling popular BBC adalah program mengenai kenderaan kini akan diteruskan tanpa Clarkson, buat pertama kali dalam sejarahnya sejak ke udara pada tahun 1988. Program ini ditayangkan di lebih 200 buah negara dan menjana pendapatan sehingga £50 juta setahun kepada BBC. Clarkson yang menjadi jutawan apabila dia menjual hak penyiaran rancangan itu kepada BBC kini akan menjadi subjek rebutan stesen-stesen televisyen yang lain. Statistik Semasa Top Gear: > Ditonton oleh lebih 350 juta orang di seluruh dunia. > Sejak 2002, lebih 170 episod telah dirakamkan. > Mempunyai lebih 3 juta pengikut YouTube > Majalah Top Gear dicetak sebanyak 1.7 juta naskhah sebulan dan diedarkan di seluruh dunia.