SALAH seorang ahli kumpulan Oh My Girl iaitu JinE mendedahkan pernah dikejarkan ke hospital kerana menghidap penyakit anoreksia akibat mengamalkan diet keterlaluan. Amalan diet keterlaluan itu adalah sebagai persiapan untuk kemunculan semula kumpulan Oh My Girl bagi single terbaharu mereka Closer. Dalam satu temuramah di TBReport baru-baru ini, dia mengakui menghidap anoreksia merupakan pengalaman paling buruk yang pernah dilalui. "Saya seorang yang mudah untuk naik berat badan. Saya sentiasa melihat foto lama yang menjadikan cabaran untuk saya menjadi kurus seperti dahulu. "Saya melakukan diet tersebut semata-mata ingin membuatkan penonton kagum dan menunjukkan sisi cantik ketika mempromosikan single kami Closer. "Saya melakukan diet secara mengejut, tidak makan dan hanya ambil proten, saya juga melakukan senaman yang tidak teratur menyebabkan badan saya tidak boleh terima dengan amalan tersebut," ujar JinE. Bagaimanapun JinE berkata, dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 9 kilogram dalam masa dua bulan. Dalam pada itu, JinE berkata, biarpun mencapai matlamat untuk kurus, namun kesihatannya terganggu dan sering muntah-muntah. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti diet tersebut dan menunjukkan sisi sebenarnya di atas pentas persembahan.