PELAKON Mark Salling mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima dan memiliki pornografi kanak-kanak pada Jumaat lalu. Bekas bintang siri Glee itu didakwa atas dua pertuduhan pada 27 Mei lalu iaitu menerima dan memiliki gambar dan video pornografi melibatkan kanak-kanak perempuan ketika dia ditahan pada Disember tahun lalu. Menurut pendakwa raya, pihak berkuasa menjumpai ribuan imej dan video menerusi komputer riba dan pen drive milik pelakon itu ketika serbuan dibuat di rumahnya. Mark bersama peguamnya ketika hadir ke mahkamah pada Jumaat lalu. Mark yang digari ketika masuk ke ruang tertuduh kelihatan resah dan gementar sepanjang perbicaraan berlangsung. Jika didapati bersalah dia boleh dikenakan hukuman penjara lima ke 40 tahun. Dalam pada itu, mahkamah membenarkan Mark diikat jamin dengan bon jaminan sebanyak USD150,000 (RM600,000) dan dia membayar wang berkenaan. Mark juga tidak dibenarkan untuk mendekati atau berhubung dengan kanak-kanak, menggunakan internet dan dadah selain pasport antarabangsa miliknya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa. "Dia juga perlu memakai gelang kaki sebagai pemantauan kepada aktiviti hariannya. "Jika dia ingin menggunakan internet atau perlu ke luar negara atas urusan kerja dia perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu," kata Thom Mrozek wakil mahkamah kepada media.