PENYANYI Bobby Brown mendedahkan dia pernah memukul mendiang Whitney Houston ketika mereka masih bergelar suami-isteri. Bobby bagaimanapun memberitahu kejadian itu berlaku hanya sekali sepanjang 15 tahun perkahwinan mereka dan dia bukannya seorang kaki pukul wanita. Jelasnya kejadian itu berlaku ketika dia dalam proses berhenti daripada mengambil dadah dan menyifatkan ia bukan tindakan serius. Bobby mendedahkan kisah peribadinya menerusi sebuah buku memoir berjudul Every Little Step yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini. Dalam pada itu, Bobby turut mendedahkan beberapa perkara lain mengenai penyanyi terkenal itu dalam buku berkenaan yang dianggap sebagai melampau dan menggangu. Bobby turut mendakwa Whitney adalah seorang biseksual selain pernah menjalinkan hubungan intim dengan pembantunya, Robyn Crawford. Malah dia memberitahu bekas isterinya itu mungkin masih hidup sekiranya keluarga Whitney tidak menghalang hubungan tersebut. Penyanyi berusia 47 tahun itu berkahwin dengan Whitney pada 1992 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Bobbi Kristina. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 2007. Whitney meninggal dunia pada 2012 pada usia 48 tahun ekoran pengambilan dadah berlebihan manakala anak mereka meninggal dunia pada tahun lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi di rumahnya. - People