DEMI Lovato kembali menggunakan laman sosial hanya selepas beberapa hari mengambil keputusan tidak menggunakan Twitter dan Instagram kerana kecewa sering menjadi bahan kritikan netizen. Time melaporkan Demi berbuat demikian kerana tidak mahu mengecewakan peminatnya yang hampa dengan keputusannya untuk tidak lagi menggunakan laman sosial. Sebelum ini, keputusan penyanyi itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya menyelar Mariah Carey menggunakan medium itu sehingga menimbulkan kemarahan peminat penyanyi terkenal itu. Penyanyi berusia 23 tahun itu menyifatkan Mariah sebagai biadap kerana bersikap buruk terhadap Jennifer Lopez dan Ariana Grande. "Saya bercakap terlalu banyak. Selamat tinggal Twitter, Instagram. Saya lebih suka guna Snapchat kerana tiada siapa boleh meninggalkan komen yang menyakitkan hati," katanya. Dalam pada itu, peminat yang marah dengan keceluparan mulut Demi mempersoalkan tindakan penyanyi itu selain menyifatkan tindakan dia sebagai terdesak. Mariah Carey tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap serangan Demi terhadapnya. "Demi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tindakannya sengaja mencari masalah memberi padah kepadanya. "Mariah tidak pernah bercakap buruk tentang Ariana sebaliknya media dan peminat yang sering membandingkan mereka dan mendakwa Ariana cuba meniru Mariah. "Demi cuba menarik perhatian peminat dan pengguna internet kerana kariernya yang tidak ke mana-mana," kata salah seorang peminat. Sementara itu, pergaduhan di antara Mariah dan Jennifer tercetus apabila Mariah memberitahu tidak mengenali Jennifer ketika dia ditanya mengenai wanita berkenaan dalam satu wawancara pada 2003. Komen Mariah itu telah menyebabkan ramai berpendapat penyanyi itu seorang yang berlagak diva dan sengaja mencetuskan pergaduhan. Bagaimanapun ketika muncul dalam program Andy Cohan baru-baru ini Mariah menjelaskan ramai telah salah faham dengan kenyataannya itu. "Saya tidak faham kenapa orang masih memperbesar-besarkan perkara itu biarpun ia telah berlaku 13 tahun lalu dan jelas kenyataan saya telah disalahertikan. "Sudah tentu saya kenal siapa dia (Jennifer) cuma saya tidak mengenalinya secara peribadi. Apabila ditanya tentang pandangan saya tentangnya sudah tentu jawapan saya berikan 'saya tidak mengenalinya' kerana saya tidak mahu berpura-pura seperti kami mempunyai hubungan rapat," kata Mariah.