FILEM seram Train To Busan mencipta rekod apabila melepasi angka 10 juta tontontan di Korea Selatan sejak ia ditayangkan di pawagam pada 22 Julai lalu. Soompi melaporkan karya arahan Yeon Sangho itu memperoleh angka itu hanya dalam masa tiga hari dan berjaya menduduki tangga teratas carta filem di negara itu. Dilakonkan oleh Gong Yoo, Jung Yumi dan Ma Dong Seok,Train To Busan sekaligus memecah rekod filem A Violent Prosecutor yang meraih 9.7 juta penonton dalam tempoh sama. Dalam pada itu, Gong Yoo dalam satu temubual memberitahu dia sendiri tidak menyangka naskah berkenaan mampu mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. "Saya tidak sangka kerana sebelum ini filem lakonan saya hanya berjaya meraih 5 juta penonton sahaja dan angka untuk Train To Busan cukup menakutkan," katanya. Train To Busan sebelum ini pernah ditayangkan pada Festival Filem Cannes Ke-69 yang berlangsung pada awal tahun ini. Selain itu, ia juga pernah menerima penghargaan khas pada Festival Filem Antarabangsa Fantasia Ke-20 di Kanada baru-baru ini.