PENYANYI Lay tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminat fanatik yang cuba melanggar hak privasinya. Soompi melaporkan Lay yang juga anggota kumpulan EXO membuat keputusan itu selepas dia menjadi mangsa pencerobohan privasi dalam dua kejadian baru-baru ini. "Dua kejadian melibatkan tindakan diluar kawalan oleh peminat fanatik sebelum ini benar-benar telah melanggar hak privasi saya sebagai seorang individu. "Saya tidak akan berfikir dua kali selepas ini sekiranya kejadian serupa berlaku lagi dan tindakan undang-undang akan diambil," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pihak syarikat pengurusannya baru-baru ini. Pada 18 Ogos lalu, dua peminat wanita menyamar dengan memalsukan identiti mereka dalam cubaan untuk memasuki bilik hotelnya. Akibat kejadian itu, pihak pengurusan hotel terpaksa menamggil polis bagi menangkap wanita berkenaan. Kejadian sama turut berlaku 10 hari sebelum itu ketika Lay sedang menjalani penggambaran sebuah drama di China. Seorang wanita berpura-pura sebagai pekerja produksi hanya ingin mendekati Lay sebelum ditangkap.