PENYANYI rap kontroversi Kanye West pada Ahad lalu akhirnya membuka secara rasmi akaun Instagram walaupun sebelum ini dia pernah menyatakan tidak berminat untuk menyertai media sosial berkenaan. Daily Mail melaporkan profil yang menggunakan nama @kanyewest itu mendapat 500,000 pengikut pada hari pertama ia dilancarkan. Sehingga kini Kanye mempunyai lebih satu juta pengikut di Instagram. Dalam pada itu, Kanye yang sebelum ini lebih aktif di Twitter turut memuat naik sekeping foto di profilnya iaitu gambar sebuah bangunan dengan kenderaan yang dinyalakan lampunya. Bagaimanapun suami kepada Kim Kardashian itu tidak meletakkan sebarang kapsyen pada gambar tersebut. Terdahulu, Kanye mula memberikan gambaran akan membuka Instagram dengan memberitahu sedang mempertimbangkan perkara itu. "Saya terfikir untuk memiliki Instagram tetapi dengan satu syarat, anda tidak boleh beritahu apa yang perlu saya muat naik dalam akaun tersebut," katanya.