PENYANYI Meghan Trainor terpaksa membatalkan konsert jelajahnya yang berbaki sehingga hujung tahun ini ekoran mengalami masalah vokal. Meghan, 22, mengumumkan perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini dan memberitahu doktor mengarahkannya untuk tidak menyanyi bagi mengelakkan kecederaan pada vokalnya bertambah teruk. "Dengan rasa kesal saya terpaksa membatalkan konsert jelajah saya kerana masalah vokal yang saya hadapi tidak bertambah baik. "Doktor mengarahkan saya untuk berehat daripada menyanyi selama dua minggu dan perkara ini menyedihkan kerana saya teruja untuk bertemu anda semua. "Saya berharap dapat kembali mengadakan persembahan untuk anda semua dalam masa terdekat ini," tulisnya. Tahun lalu, Meghan mengalami masalah sama sehingga terpaksa menjalani pembedahan selain membatalkan konsert jelajahnya iaitu MTrain Tour.