VOKALIS kumpulan Coldplay, Chris Martin dilaporkan menderma 10 peratus daripada jumlah pendapatannya kepada beberapa badan kebajikan. Chris dalam satu temuramah memberitahu, sejak dari kecil dia diajar oleh ibunya untuk sentiasa bermurah hati dan membantu golongan memerlukan. "Sejak saya berusia sembilan tahun ibu akan mengambil satu pertiga daripada duit poket yang diberikan untuk disimpan dan diderma kepada badan kebajikan. "Kata ibu ketika itu dia mengambil duit berkenaan kerana ingin mengajar saya tentang kepentingan berkongsi apa yang kita ada. "Saya bersyukur kerana sehingga kini saya sudah terbiasa untuk membahagikan sebahagian pendapatan untuk tujuan itu," katanya seperti dilaporkan Daily Mail. Malah kata Chris, dia juga berjaya mempengaruhi ahli kumpulan Coldplay yang lain untuk melakukan perkara sama.