PELAKON James Franco menyifatkan sikapnya yang tidak pandai bermain cinta menjadi faktor dia masih tidak mempunyai teman wanita. James berkata, dia adalah seorang yang suka mengambil berat tentang orang lain tetapi tidak mahir dalam meluahkan perasaannya. "Saya memang teruk dalam soal percintaan kerana tidak pandai untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. "Sikap saya yang tidak pandai bermain cinta juga penyebab mengapa saya masih solo sehingga sekarang," katanya seperti dilaporkan E Online. Katanya lagi, dia cuba memperbaiki kelemahannya itu dan berharap dapat menemui cinta sejatinya. Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan James adalah seorang homoseksual dan ia antara punca pelakon terkenal itu dilihat mengelak daripada berbicara soal cinta. Bagaimanapun James bersikap terbuka dan tidak cuba menafikan atau mengiyakan tentang perkara itu. "Orang lebih berminat dengan soal seksualiti saya dan saya rasa itu adalah hak saya. "Mereka ingin tahu kerana saya seorang selebriti dan mungkin ada sisi gay dalam diri saya," katanya dalam satu temubual bersama majalah Times April lalu.