PELAKON Hwang Jung Eum mengumumkan dia bakal bergelar ibu apabila sedang hamil empat bulan. Koreaboo melaporkan Jung Eum dijangka menimang cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Lee Young Don pada Ogos depan. Pasangan itu sebelum ini pernah mengejutkan peminat apabila berkahwin pada Februari tahun lalu hanya selepas enam bulan berkenalan. Ramai membuat spekulasi perkahwinan tersebut diadakan secara tergesa-gesa apabila Jung Eum hamil. Bagaimanapun pelakon itu menafikan perkara tersebut dan pengumuman terbaharu mengenai kehamilannya menutup semua gosip berhubung perkahwinan mengejutnya.