PENYANYI Adele mendedahkan dia sudah berkahwin dengan Simon Konecki dengan menggelar lelaki itu sebagai suaminya ketika menerima trofi Album Terbaik pada Anugerah Grammy ke-59 yang berlangsung di Staples Centre, malam Ahad lalu. "Saya sayang anda, pengurus saya, suami saya dan anak saya - anda adalah alasan mengapa saya berada di sini," katanya. Pada Disember lalu, bintang terkenal itu dilihat mengenakan cincin perkahwinan dan timbul spekulasi mengatakan pasangan itu telah pun berkahwin secara rahsia. Bagaimanapun pihak pengurusan penyanyi lagu Someone Like You itu enggan mengulas mengenai perkara itu. Adele dan Simon dikatakan berkahwin pada Disember lalu. Pasangan berkenaan yang bercinta sejak 2011 mempunyai seorang anak lelaki iaitu Angelo, berusia empat tahun. Terdahulu, Adele menyapu bersih kesemua lima kategori yang diterimanya termasuk Album Terbaik bagi album solo ketiganya, 25 pada anugerah itu. Kemenangan Adele dalam kategori utama penganjuran anugerah muzik terbesar Amerika Syarikat itu adalah yang kedua selepas lima tahun memenanginya menerusi album keduanya, 21 pada tahun 2012. Selain Album Terbaik, penghibur berbakat besar itu turut memenangi dua lagi kategori utama iaitu Rekod dan Lagu Terbaik untuk lagu popularnya, Hello dengan menewaskan saingan terdekatnya, Beyonce Knowles yang tercalon bagi lagu Formation.