KEJAYAAN drama Goblin: The Lonely and Great God membuatkan beberapa lokasi dalam drama itu menjadi tumpuan pelancong. Pengarah Organisasi Perlancongan Korea, Oh Hyonjae berkata, pihaknya memperkenalkan pakej pelancongan ke lokasi-lokasi penggambaran drama berkenaan. "Salah satu lokasi ialah di Pantai Yeongjin di Jumunjin, Gangwon, ia merupakan lokasi Ji Eun pertama kali bertemu Kim Shin yang menjadi Goblin pada usia 19 tahun," ujarnya. Selain itu, beberapa lokasi lain turut mendapat perhatian pelancong iaitu jalan hutan cemara di Woljeongsa dan Sky Garden di Yongpyong Resort. Sejak drama tersebut disiarkan, tempat-tempat berkenaan mula dikunjungi oleh orang ramai termasuk pelancong untuk bergambar dan melihat sendiri lokasi indah itu. Ia seperti tarikan di Pulau Nami yang menjadi tumpuan pelancong selepas kejayaan drama Winter Sonata suatu ketika dahulu.