TUGAS untuk mengumumkan nama pemenang pada acara berprestij terutamanya dalam sebuah rancangan secara langsung di televisyen tidak semudah yang disangka. Ketika hos pertandingan Ratu Cantik Dunia 2015, Steve Harvey menyangka masyarakat dunia sudah melupakan kekecohan yang dilakukannya itu, pengacara Anugerah Akademi ke-89 (Oskar), Jimmy Kimmel pula menjadikan ia sebagai bahan gurauan. Ia berlaku selepas penyampai anugerah iaitu Warren Beatty secara tidak sengaja menamakan La La Land sebagai pemenang kategori filem terbaik. Jimmy dengan segera memaklumkan bahawa Moonlight adalah pemenang sebenar kategori berkenaan. "Apa yang berlaku adalah sangat malang. Secara peribadi saya menyalahkan Steve Harvey untuk kesilapan ini," katanya secara jenaka. Walaupun Warren cuba memberikan penjelasan, netizen bagaimanapun seakan sukar menerimanya dan mula membuat pelbagai teori dan spekulasi. -ENews