PENYANYI terkenal, Beyonce selamat melahirkan sepasang bayi kembar pada Ahad menurut laporan media Amerika Syarikat. Berita itu didedahkan oleh majalah People dan Us Weekly sebelum E! melaporkan Beyonce dilihat berada di hospital pada Khamis lalu. Malah seorang wanita dilihat membawa sejambak bunga berwarna ungu, merah jambu dan biru selain belon merah jambu dan biru yang tertera tulisan 'bayi perempuan' dan 'bayi lelaki'. Bagaimanapun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Beyonce sendiri tentang perkara itu. "Bey dan Jay sangat teruja dengan kelahiran bayi kembar mereka dan berkongsi mengenai berita itu dengan keluarga dan rakan terdekat mereka," kata sumber terdekat penyanyi itu. Beyonce dan suaminya, Jay Z mempunyai seorang anak perempuan iaitu Blue Ivy Carter yang kini berusia lima tahun. Penyanyi lagu Formation itu sebelum ini mendedahkan dia sedang hamil anak kembar pada Februari lalu dengan memuat naik gambarnya di Instagram. Sejak pengumuman itu, Beyonce, 35, dilihat terbuka berkongsi tentang kehamilannya dengan peminat biarpun sebelum ini penyanyi itu agak berahsia ketika sedang mengandungkan Blue Ivy.