BUKAN mudah menjadi anak kepada selebriti terkenal dunia dan ia turut diakui oleh Brooklyn Beckham yang juga anak sulung kepada pasangan David dan Victoria Beckham. Brooklyn mendedahkan dia kurang selesa dengan perhatian diberikan ketika mula-mula mendaftarkan diri sebagai penuntut kursus fotografi di Parson School of Design, New York. Remaja berusia 18 tahun itu berkata dia seboleh-bolehnya tidak mahu jadi perhatian namun ia tidak mudah seperti disangkakan apabila sering diganggu peminat di kolejnya. Kata Brooklyn, dia sering menjadi perhatian peminat wanita yang teruja apabila bertemu dengannya di kolej. "Tenang! Saya akan berada di kolej ini selama empat tahun," katanya seperti dilaporkan Mirror. Bagaimanapun kata Brooklyn, keadaan itu semakin baik berbanding suasana sewaktu awal kemasukannya ke kolej itu. "Mereka faham dan menghormati saya cuma suasana agak berlainan sewaktu mula-mula saya mendaftar dahulu. "Mungkin mereka terkejut, tetapi tidak mengapa," ujarnya. Brooklyn juga memberitahu dia tidak gemar bergaul dengan selebriti terkenal kerana adakalanya sikap mereka menjengkelkan.