FOTO penyanyi Lee Seung Gi yang sedang menjalani latihan ketenteraan kini tersebar luas di media sosial. Bagaimanapun Allkpop melaporkan gambar tersebut bukan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sebaliknya ia dimuat naik oleh sebuah blog rasmi pusat latihan tentera itu dikenali sebagai ROK Army. Menerusi beberapa gambar Seung Gi itu, peminat berasa lega dapat menatap wajahnya dan gembira melihat penyanyi itu berada dalam keadaan baik dan gembira. "Kulitnya nampak lebih gelap dari kebiasaan tetapi Seung Gi nampak gembira dan sihat! Seung Gi sedang menjalani latihan bersama rakan-rakannya. "Tidak sabar untuk menanti dia menamatkan latihan ketenteraan," tulis peminat. Dalam pada itu, menerusi sebuah undian yang dijalankan peminat memilih Seung Gi sebagai bintang paling dinanti-nantikan untuk menamatkan latihan ketenteraan. Penyanyi itu dijangka tamat latihan pada 31 Oktober ini dan peminat sudah pun mula mengadakan pelbagai kempen bagi menyambut kepulangannya.