ANGGOTA kumpulan EXO, D.O mendedahkan dia berasa sedih kerana tidak boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain selepas bergelar selebriti. Pemilik nama sebenar, Do Jyung Soo ini berkata dia kini tidak boleh keluar ke tempat awam seperti mana sebelum dia bergelar artis dan mengakui ia bukan perkara mudah. "Itu adalah cabaran terbesar bagi seorang selebriti seperti saya. Ia sangat sukar. "Saya masih muda tetapi perlu berhadapan dengan perkara seperti ini dan tidak boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain," katanya seperti dilaporkan Koreaboo. D.O mendedahkan perkara itu ketika muncul menerusi program Party People. Dalam pada itu, D.O turut memberitahu situasi dihadapinya itu hampir membuatkan dia berputus asa untuk meneruskan karier dalam bidang seni. Bagaimanapun kejayaan dan sokongan daripada anggota EXO membuatkan D.O terus bersemangat untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.