PENYANYI Mariah Carey dan Bryan Tanaka dilihat beraksi mesra dan berpimpin tangan ketika berada di Kota Paris, baru-baru ini. Kunjungan Mariah, 47, bersama kekasih di kota romantik tersebut menarik perhatian paparazi sehingga foto mereka berdua tersebar di laman sosial. Meskipun berbeza usia 14 tahun, jejaka tersebut melayan Mariah bagaikan seorang ratu dengan sikap budiman dan penyayang. Usia bukan penghalang cinta Mariah dan Bryan. Menurut portal hiburan Mail Online, sebelum menjayakan konsert, Mariah dan Bryan menghabiskan masa menikmati makan malam di sebuah restoran piza di bandar tersebut. Pada malam itu, bekas isteri Nick Cannon ini mengenakan baju dan kasut berwarna hitam bersama padanan blazer. Bukan hanya berdua, pasangan ini turut dilihat menjemput beberapa orang teman ke restoran tersebut dan menghabiskan masa berbual sesama mereka dan beransur pulang beberapa jam kemudian. Bintang pop ini berada di Paris bagi menjayakan persembahan All I Want For Christmas Is You pada malam Sabtu.