DUNIA perfileman di Hollywood sekali lagi kecoh apabila pelakon terkenal James Franco didakwa melakukan gangguan seksual terhadap lima wanita. Los Angeles Times melaporkan lima wanita itu membuat dakwaan itu sehari selepas James memenangi trofi pada Anugerah Golden Globe yang berlangsung pada Ahad lalu. Empat wanita itu yang juga bekas pelajar perfileman mendakwa James berkelakuan tidak senonoh selain pernah mengambil kesempatan terhadap mereka ketika melakonkan babak bogel menerusi projek kolej mereka. Seorang lagi wanita yang mendaka bekas teman wanitanya pula mendakwa lelaki itu pernah memaksanya melakukan seks oral. Bagaimanapun James, 39, menyangkal semua dakwaan itu menerusi peguamnya. Sebelum ini, penerbit filem Harvey Weinstein dikecam hebat apabila ramai pelakon terkenal Hollywood tampil mendedahkan perbuatan terkutuknya yang gemar melakukan gangguan seksual. Perkara itu kini mendapat perhatian ramai penggiat seni di Hollywood dan sebagai menunjukkan soladariti mereka tampil berpakaian hitam pada Anugerah Golden Globe. Malah James sendiri tampil memakai sut berwarna hitam dan menyuarakan sokongannya dalam menentang gangguan seksual yang berlaku dalam industri perfileman.