BERITA kematian aktor Jeon Tae Soo ternyata mengejutkan peminat K-Pop seluruh dunia. Menurut portal Allkpop, upacara pengebumian telah diadakan secara tertutup di sebuah lokasi di Seoul, Korea Selatan pada Selasa. Malah, dikatakan sebuah ruangan istiadat pengebumian juga telah didirikan di hospital dia menjalani rawatan. Aktres Ha Ji Won (kanan) membatalkan semua aktiviti seninya selepas mendapat berita kematian adiknya yang juga pelakon Jae Tae Soon. Sumber turut memaklumkan majlis penghormatan terakhir itu hanya dihadiri oleh kaum kerabat dan keluarga terdekat sahaja. Dalam perkembangan yang sama, kakak mendiang iaitu Ha Ji Won turut membatalkan kesemua program membabitkan dirinya. Terdahulu, Jeon Tae Soo meninggal dunia pada hari jadinya yang ke-34 pada Ahad lalu dan berita itu disahkan oleh syarikat pengurusannya, Haewadal Entertainment. Koreaboo melaporkan Tae Soo mengalami masalah kemurungan dan sedang menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan yang lokasinya dirahsiakan.