PELAKON Angelina Jolie membawa dua anaknya iaitu Zahara, 13, dan Shiloh, 11, melawat pelarian Syria di Jordan pada 28 Januari lalu. Menurut portal DailyMail, ini merupakan kunjungan ketiga buat Shiloh dan yang pertama bagi Zahara. "Anak-anak perempuan saya iaitu Zahara dan Shiloh meminta untuk mengikuti kunjungan kali ini. Mereka seronok berbual dan bermain dengan kanak-kanak seusia di sana. "Ada antara anak-anak ini dipaksa meninggalkan rumah, anggota keluarga telah terbunuh atau telah hilang dan berjuang dengan trauma serta penyakit," kata Angelina. Sementara itu, Angelina meluahkan simpati melihat kehidupan masyarakat Syria yang hidup bawah paras kemiskinan. "Setelah tujuh tahun berperang, sebahagian besar mereka sudah kehabisan duit simpanan dan hidup kemiskinan. Bayangkan mereka hanya ada kurang USD$3 (RM12) sehari dan apa akan terjadi jika kita melalui nasib sama. "Ini bererti mereka tidak mendapat makanan dan perubatan yang cukup. Malah dimaklumkan, mereka tiada tempat berlindung ketika musim sejuk dan lebih sedih lagi, ada anak gadis yang terpaksa berkahwin pada usia terlalu muda," luahnya. Selain mengunjungi pelarian di negara tersebut, Angelina turut mempromosikan projek These Inspiring Girls Enjoy Reading (TIGER) bermatlamat memperkasakan bidang pendidikan.