ANGGOTA kumpulan Romeo iaitu Milo dikecam selepas dia didakwa cuba menggoda seorang peminatnya bawah umur untuk dibawa pulang ke hotel penginapannya di Jepun baru-baru ini. Ekoran tindakannya itu, Milo menjadi sasaran peminat yang mempersoalkan tindakannya ingin mebawa pulang remaja bawah umur ke bilik hotelnya selain mendakwa dia cuba melakukan perkara tidak senonoh dengan gadis itu. Kontroversi itu juga memaksa pihak pengurusannya CT Entertainment menutup semua akaun laman sosial dan laman web miliknya selepas ia menjadi medan netizen meluahkan rasa marah terhadap Milo. CT Entertainment dalam kenyataan segera mengenai perkara itu memohon maaf atas kelakuan Milo dan memberitahu tindakannya itu tidak matang. "Kami mewakili Milo memohon maaf kepada semua peminat berhubung skandal melibatkan Milo. Dia kini menyesal atas tindakan tidak matangnya itu. "Pihak kami akan memastikan Milo tidak akan mengulangi perbuatannya dan dia juga kini sedang merenung kembali kesilapannya dan sudah pun menyesal," kata wakil Ct Entertainment seperti dilaporkan Koreaboo.