ANAK lelaki kepada pasangan Pamela Anderson dan Tommy Lee iaitu Brandon mendedahkan dia bertindak membelasah bapanya kerana tidak dapat bersabar dengan sikap penyanyi rock itu yang belum berubah disebabkan masalah ketagihan alkohol. Hollywood Life melaporkan Brandon, 21, sudah beberapa kali menasihati dan cuba membantu bapanya itu untuk berubah namun semua usaha dilakukan sia-sia. "Saya mahu bapa kembali pulih dan menjalani kehidupan biasa tetapi nampaknya segala usaha saya tidak berhasil sehingga menyebabkan kami terlibat dalam insiden tersebut. "Saya sayangkan bapa saya dan mahu melihat dia gembira dan sihat," katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini, Tommy mendedahkan di Twitter dia dibelasah oleh anaknya sendiri sehingga dia pengsan dan mengalami kecederaan pada wajahnya. Brandon (kanan) mahu bapanya kembali sihat dan menjalani kehidupan gembira. Akibat kejadian itu dia dikejarkan ke hospital dan ia menjadi kes polis. Mengulas mengenai perkara itu, Brandon memberitahu dia akan memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kes tersebut. Sementara itu, Pamela menyalahkan bekas suaminya itu berhubung insiden Brandon membelasah penyanyi rock itu. Pamela beranggapan Tommy gagal menjadi seorang bapa yang baik selain menganggap tindakan bekas suaminya itu memperbesarkan isu berkenaan menerusi Twitternya sebagai bersikap tidak matang. "Ia mengecewakan Pamela apabila Brandon dan Tommy tidak mempunyai hubungan baik dan dia menyalahkan bekas suaminya itu kerana gagal menjadi bapa yang baik kepada anak mereka. "Tommy sepatutnya menjadi seorang bapa yang matang dalam situasi itu dan Pamela masih tidak dapat mempercayai apa yang telah berlaku," kata sumber terdekat pelakon yang popular menerusi siri Baywatch itu.