KETUA kumpulan 100%, Seo Min Woo meninggal dunia pada Ahad lalu selepas mengalami serangan jantung ketika berada di rumah di Gangnam, Seoul. The Korea Herald melaporkan mendiang yang baharu berusia 33 tahun menghembuskan nafas terakhir sebelum paramedik tiba di rumahnya untuk memberi bantuan kecemasan. Syarikat pengurusannya dalam kenyataan memaklumkan pengebumian Minwoo akan diadakan dalam masa terdekat secara tertutup atas permintaan ahli keluarganya. "Kami berduka cita dengan berita sedih ini. Sebagai ketua kumpulan 100%, Min Woo telah menggalas tanggungjawabnya dengan baik," kata wakil syarikat berkenaan. Selain Min Woo, 100% turut dianggotai oleh Rockhyun, Jonghwan, Chanyong dan Hyukjin. Sementara itu, 100% sepatutnya mengadakan konsert di Jepun pada 21 dan 30 April depan dan persembahan itu mungkin dibatalkan bagi menghormati kematian Minwoo.