PELAKON Sonam Kapoor mengambil keputusan untuk kembali menetap di Mumbai, India bersama suaminya, Anand Ahuja walaupun kebanyakan masa mereka berada di London. Times of India melaporkan, kondominium mewah berharga RM20 juta itu terletak di Bandra Kurla Complex yang dibelinya tiga tahun lalu. "Sonam membeli kondominium itu sebagai aset beberapa tahun lalu namun nampaknya dia sudah bersedia untuk menjadikan kediaman itu sebagai rumah kelaminnya. "Mereka buat keputusan itu memandangkan Anand akan menghabiskan lebih banyak masa di Mumbai bagi menguruskan perniagaannya dan ia juga memudahkan buat Sonam," kata sumber pelakon itu. Sonam yang juga anak kepada aktor terkenal Bollywood, Anil Kapoor berkahwin dengan Anand pada Mei lalu. Dalam pada itu, Sonam, 33, dilaporkan turut mengubah suai rumah tersebut mengikut cita rasanya sebelum mereka berpindah masuk. Malah pelakon itu turut membeli perabot termasuk beberapa koleksi artifak untuk menghias kediaman impiannya itu.